Pertukaran Alamat

14 Nov

Blog ini telah ditamatkan operasinya. Sila layari http://pastiwp.blogspot.com untuk blog Pasti WP yang baru. Terima kasih.

Konvokesyen Pasti WP 2011

10 Nov

Konvokesyen (Ihtifal) Pasti WP 2011. Kami menjemput semua ibubapa dan guru-guru pelajar-pelajar pasti yang berada di seluruh Kuala Lumpur untuk hadir ke majlis Konvokesyen dan penyampaian hadiah pelajar-pelajar cemerlang yang akan diadakan :

Tarikh : 13 November 2011 (Ahad)
Tempat : Dewan Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Taman Melewar, Gombak
Masa : 8:00 am – 12:00 pm

Semua pelajar-pelajar enam tahun yang menamatkan pembelajaran mereka di pasti akan diserahkan sijil tamat persekolahan. Di dalam majlis ini juga akan disampaikan hadiah kepada pelajar-pelajar 5 dan 6 tahun yang mendapat kedudukan nombor 1,2 dan 3 di pasti masing-masing.
Acara kemuncak, akan dinobatkan pelajar terbaik 5 dan 6 tahun pasti Wilayah Persekutuan.

Semua di jemput hadir.

Pelajar-pelajar pasti terbaik 2007 dari setiap negeri-negeri di Malaysia

Puasa Hari ‘Arafah

3 Nov

PUASA HARI ‘ARAFAH (9 DZULHIJJAH)
Puasa hari ‘Arafah ialah puasa sunat pada hari kesembilan Dzulhijjah yang disunatkan bagi mereka yang tidak melakukan ibadah haji. Kelebihan berpuasa pada hari ini ialah ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun yang telah lalu dan dosa setahun yang akan datang, sebagaimana hadith yang telah diriwayatkan daripada Abu Qatadah al-Anshari ra:
Dan Rasulullah SAW ditanya tentang berpuasa di hari ‘Arafah. Maka Baginda bersabda: “Ia menebus dosa setahun yang telah lalu dan setahun yang akan datang.” (Hadith Riwayat Imam Muslim)

Manakala bagi mereka yang melakukan ibadah haji pula adalah disunatkan untuk tidak berpuasa pada hari ‘Arafah dan adalah menyalahi perkara yang utama jika mereka berpuasa juga pada hari itu berdasarkan apa yang diriwayatkan dari Ummu al-Fadhl binti al-Harith:
Ramai di kalangan sahabat Rasulullah SAW yang ragu-ragu tentang berpuasa pada hari ‘Arafah sedangkan kami berada di sana bersama Rasulullah SAW, lalu aku membawa kepada Baginda satu bekas yang berisi susu sewaktu Baginda berada di ‘Arafah lantas Baginda meminumnya. (Hadith Riwayat Imam Muslim)

Juga daripada hadith yang diriwayatkan dari Abu Hurairah ra:
Sesungguhnya Rasulullah SAW melarang berpuasa pada Hari ‘Arafah bagi mereka yang berada di ‘Arafah. (Hadith Riwayat Abu Dawud dan an-Nasa’ie; at-Thabrani dari Aisyah rha) [1]
Disunatkan juga berpuasa pada hari ke 8 Dzulhijjah di samping berpuasa pada hari ‘Arafah (9 Dzulhijjah) sebagai langkah berhati-hati yang mana kemungkinan pada hari ke 8 Dzulhijjah itu adalah hari yang ke 9 Dzulhijjah (Hari ‘Arafah). Bahkan adalah disunatkan berpuasa lapan hari, iaitu dari hari yang pertama bulan Dzulhijjah hingga ke hari yang kelapan sama ada bagi orang yang mengerjakan haji atau tidak mengerjakan haji, bersama-sama dengan hari ‘Arafah.

Diriwayatkan dari Ibn Abbas ra:
Rasulullah SAW bersabda: “Tiada amal yang soleh yang dilakukan pada hari-hari lain yang lebih disukai daripada hari-hari ini (sepuluh hari pertama dalam bln Dzulhijjah).” (Hadith Riwayat al-Bukhari)
Dalam hadith yang lain yang diriwayatkan dari Hunaidah bin Khalid, dari isterinya, dari beberapa isteri Nabi SAW:
Sesungguhnya Rasulullah SAW melakukan puasa sembilan hari di awal bulan Dzulhijjah, di hari ‘Asyura dan tiga hari di setiap bulan iaitu hari Isnin yang pertama dan dua hari Khamis yang berikutnya. (Hadith Riwayat Imam Ahmad dan an-Nasa’ie)

Adapun berpuasa pada hari Aidiladha (10 Dzulhijjah) dan hari-hari tasyrik (11, 12 dan 13 Dzulhijjah) adalah diharamkan berdasarkan hadith yang diriwayatkan dari Umar ra:
Bahawasanya Rasulullah SAW melarang berpuasa pada dua hari, iaitu ‘Eid al-Adha dan ‘Eid al-Fitr. (Hadith Riwayat Imam Muslim, Ahmad, an-Nasa’ie, Abu Dawud)
Serta hadith yang diriwayatkan dari Abu Hurairah ra:
Rasulullah SAW telah mengirimkan Abdullah Ibn Huzhaqah untuk mengumumkan di Mina: “Kamu dilarang berpuasa pada hari-hari ini (hari tasyrik). Ia adalah hari untuk makan dan minum serta mengingati Allah.” (Hadith Riwayat Imam Ahmad, sanadnya hasan) [2]

Allahu a’lam bisshawab..
Dipetik dari blog Kelab Diskusi Ilmiah.

Lawatan Sambil Belajar Pasti Lembah Pantai (As-Sofi, Al-Furqan, An- Nur & Nurul Iman)

1 Nov

Lokasi: Kilang coklat, Pusat Sains Negara, Zoo Negara, Penerbitan Ana Muslim
Tarikh: 25 Okt 2011 (Selasa)

Program lawatan dirancang awal; sekitar 2 bulan. Hasilnya lebih daripada 80 peserta yang terdiri daripada anak-anak, guru-guru dan ibu bapa mendaftar sebagai peserta. Pengangkutannya adalah 3 buah bas persiaran yang disewa khas.

Permulaan aktiviti adalah lawatan di kilang coklat. Di situ kami ditunjukkan demonstasi penyediaan coklat. Kami dibawa ke kedai jualan coklat. Terdapat pelbagai jenis dan bentuk coklat yg dijual. Agak teruja dengan hasil coklat buatan Malaysia.Not bad la. Cuma harganya mahal dari coklat buatan luar…

Kemudian kami bertolak ke Pusat Sains Negara. Di situ kami dapat melihat pelbagai peralatan,game yang menarik berunsurkan sains. Kami juga dapat mempelajari beberapa perkara mengenai sains yang jarang dapat dilihat di tempat-tempat biasa seperti sekolah, perpustakaan dan lain-lain. Anak-anak terpegun melihat paparan sains pada alatan, replika dan gambar. Sungguh ajaib pada mereka!

Destinasi berikutnya ialah Zoo Negara. Kami makan tengahari di perkarangan Masjid Negara. Solat Zohor pula di sebuah masjid dalam perjalanan….

Setibanya kami di Zoo Negara, hujan mulai turun. Seusai sahaja hujan, anak-anak Pasti mula mengatur langkah; berjalan-jalan, berpusing-pusing, meronda-ronda… Sungguh riang mereka semua. Hampir kesemua hidupan sama ada haiwan, burung, serangga dan unggas ditelusuri. Banyak perubahan di dalam zoo hasil daripada projek penaiktarafan. Gembira melihat anak-anak Pasti yang seronok dan teruja melihat hidupan di zoo. Tapi, masa yang ada begitu singkat dek program yang diatur agak padat. Jadi, kesemuanya perlu pantas dan segera. Kesian melihat anak-anak Pasti yang tidak puas melihat hidupan di zoo.

Destinasi terakhir kami ke pusat penerbitan Ana Muslim. Hujan amat lebat ketika kami sampai di sana. Ana Muslim adalah syarikat yang menerbitkan majalah berunsurkan Islam. Di situ kami diberi penerangan tentang operasi dan proses pembikinan majalah Ana Muslim. Juga, kami dibawa melawat dan meninjau bahagian kilangnya. Sebelum berangkat pulang, kami sempat membeli belah barangan Ana Muslim seperti beg, majalah, alatan tulis dan lain-lain.

Pada 6.45 petang kami tiba di Pasti masing-masing. Walaupun agak letih, tapi kenangan sepanjang lawatan ini tidak akan dilupakan. Gembira bukan kepalang. Dengan adanya lawatan seperti ini dapat menghiburkan hati, membuka minda, menambah maklumat serta merapatkan silaturahim di antara anak-anak, ibu bapa dan juga guru-guru.

Sekian, jumpa lagi di lain lawatan, Insya Allah.

Cikgu Noni.

Beratur masuk ke Pusat Sains Negara.

“Jaga-jaga! Dinasour dah nganga tu. Sapa la yang kena ngap nanti ni…”

“Anak sapa la yang terbiar ni…”

“Seronok sesekali dapat naik bas ramai-ramai”

“Mama, ada ke binatang besar macam nih?”

“Ni macam rumah Ultraman Mebius je…”

Ihtifal Pasti As-Salam

31 Oct

Pasti As-salam telah mengadakan majlis ihtifal dan jamuan akhir tahun pada semalam, Ahad 30 Disember 2011. Majlis bermula kira-kira pukul 10 pagi dan telah dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Pasti WP, Sdr Abdul Halid Basir. Turut hadir ialah Bendahari Pasti WP yang juga merupakan Pengurus Pasti As-Salam Abang Rahman Bakri, Sdr Haris dari Unit Sukan dan Ketua Pas Cawangan Bukit C2, Abang Azmi Ahmad. Begitu ramai anak-anak pasti bersama ibubapa yang hadir. Penuh ruang pasti hingga melimpah keluar.

Selepas ucapan perasmian, majlis diserikan dengan persembahan dari anak-anak pasti yang belajar disitu. Bacaan doa harian, Hafazan, bacaan khutbah dan bercerita adalah diantara yang dipersembahkan. Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada semua pelajar dan pelajar-pelajar yang cemerlang dan jamuan makan tengahari . Syabas kepada pasti As-Salam.

Persembahan dari semua pelajar-pelajar

Persembahan bacaan khutbah

Penyampaian hadiah oleh Abang azmi Ahmad, Ketua Pas Cawangan Bukit C2

Pelajar terbaik Pasti WP 2011

28 Oct

Setelah diadakan ujian saringan untuk mencari pelajar terbaik Pasti WP 2011 pada Rabu 26/10/11 yang lalu di Pasti Al-Hidayah, keputusannya adalah seperti berikut :

1)Pelajar terbaik 5 tahun
Adik Adam Harith bin Noorazly dari Pasti As-Sofi
Markah yang diperolehi : 82%
Adik Adam Harith. Tahniah kepada beliau dan Cikgu Noni

2)Pelajar terbaik 6 tahun
Adik Nurin Dirayati Adani bt Samzaini dari Pasti Ar-Rasyidin
Markah yang diperolehi : 88%
Adik Nurin Dirayati Adani. Tahniah juga kepada Cikgu Faziah

Syabas dan tahniah kepada mereka berdua dan kepada guru-guru yang telah mendidik mereka. Mereka berdua akan dinobatkan sebagai pelajar tebaik Pasti WP 2011 pada hari konvokesyen yang akan diadakan pada 13/11/2011 di Dewan KUIZM, Taman Melewar, Gombak.

Sukan K4T mengujakan

24 Oct

Pada Ahad 23 Oktober 2011, di Padang Awam Taman Gasing Indah, Petaling Jaya, Pasti Wilayah Persekutuan telah menganjurkan temasya sukan khas untuk pelajar-pelajar pasti yang berumur 4 tahun (K4T). Program seumpama ini yang pertama kalinya diadakan oleh Pasti Wilayah telah disertai oleh kira-kira 200 orang pelajar pasti 4 tahun yang berada di seluruh Kuala Lumpur. Dan, kali ini kawasan Lembah Pantai pula menjadi tuan rumah.

Program bermula kira-kira jam 9:30 pagi dengan perarakan masuk peserta-peserta sukan dengan diiringi guru masing-masing. Pengarah Pasti Wilayah Persekutuan, Ustaz Mohd Adlin Salleh telah menyampaikan ucapan aluan memulakan majlis. Sdr Nasaie Ismail, Naib Ketua Dewan Pemuda PAS WP juga Ketua Dewan Pemuda Pas Lembah Pantai kemudiannya telah menyampaikan ucapan dan merasmikan program ini. Beliau kemudiannya melepaskan belon tanda program bermula.
Ikrar sukan telah dibacakan oleh adik Muhamad Amirul Arfan dari Pasti As-Sofi, Lembah Pantai manakala doa pula telah dibacakan oleh adik Alya Batrisyia bt Mohd Azmi dari Pasti Nurul Iman, Lembah Pantai. Hadirin terpesona dengan kepetahan dan kelancaran mereka yang baru berusia 4 tahun!

Sebanyak 14 pasti telah mengambil bahagian dengan 7 acara yang dipertandingkan. Acara-acara itu ialah asingkan bola berwarna, menyusun puzzle bernombor, larian bawa belon air, larian bawa baton, isi air dalam cawan, lari berpasangan dengan gelung dan mencari pasangan kasut. Sungguh teruja melihat anak-anak kecil ini beraksi. Ada yang rileks je, ada yang menangis dan berbagai ragam lagi. Jenuh petugas dan guru-guru mengawal anak-anak demi memastikan semuanya berjalan seperti yang dirancang. Syabas kepada mereka semua atas kesungguhan yang diberikan.

2 acara ibubapa telah dipertandingkan iaitu acara kupas epal bagi bapa dan acara asingkan rempah ratus bagi ibu.
Di akhir program, Sdr Hazimi Mamat, Timbalan Yang Di Pertua Pas Lembah Pantai telah sudi hadir menyampaikan ucapan penutup. Acara penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pengarah Pasti sendiri.
Secara keseluruhan, Pasti Huda SPPK (Segambut) telah mengungguli kejohanan pertama Sukan K4T ini. Naib juara pula adalah gabungan Al-Furqan dan al-Nur (Lembah Pantai). Ar-Raudhah (Bandar Tun Razak) pula menempati tempat ke-3.Syabas dan Tahniah kepada semua pemenang…!

Terima kasih kepada semua yang telah menjayakan program ini terutamanya kepada tuan rumah, Dewan Pemuda PAS Lembah Pantai, PAS Lembah Pantai, Nisa’ WP dan Nisa’ Lembah Pantai. Juga kepada saudara Haris Abd Achim dan pasukan kerjanya yang sungguh tabah, cekap dan mantap. “Wa caya lu…” Jumpa lagi tahun depan, InsyaAllah.

perarakan masuk peserta dan guru ke padang untuk acara perasmian

Ucapan aluan Pengarah Pasti WP

Ucapan perasmian oleh Naib Ketua DPP WP/Ketua DPP Lembah Pantai, Sdr Nasaie Ismail

Di hadapan khemah, mendengar ucapan perasmian

Bacaan ikrar oleh adik Muhamad Amirul Arfan dari Pasti As-Sofi

Bacaan doa oleh adik Alya Batrisyia bt Mohd Azmi dari Pasti Nurul Iman

Pelepasan belon oleh perasmi tanda program bermula

Peserta sedang beraksi, acara lari bawa belon air

Bersiap sedia untuk acara seterusnya

Acara bapa – acara kupas epal kulit terpanjang

Acara ibu – acara asingkan rempah ratus. Sapa menang akan jadi calun isteri musang berjanggut (bagi yang bujang je la)

Ucapan penutup oleh Timbalan Yang Di Pertua Pas Lembah Pantai, Sdr Hazimi Mamat

Pengarah Pasti WP menyampaikan hadiah kepada semua peserta

Acara kemuncak, rebut gula-gula. Rebut dik, jangan tak rebut. Pungut banyak-banyak. Masuk dalam baju pun tak apa.

Juara Sukan K4T Pasti WP 2011 – pasti Al-Huda SPPK

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.