Bercakaplah Dengan Anak-Anak Anda

11 Feb

PUAN Adibah bimbang mengenai anak perempuannya, Alia yang berusia tujuh tahun. Sejak beberapa minggu yang lalu, Alia seolah-olah dingin dan pendiam. Bila Adibah menegur anak perempuannya untuk mendapatkan maklumat, dia tidak diendahkan. Jelas sekali perhubungannya dengan Alia semakin buruk. Ketika Adibah merenungkan keadaan emosi Alia, beliau mulai sedar bahawa sejak beberapa bulan lalu, tidak banyak masa diluangkan untuk bersama anak perempuannya itu disebabkan tugas barunya. Apabila beliau dapat meluangkan masa sekalipun, ia seolah-olah hanya berkisar mengenai kerja rumah.

Apakah yang perlu dilakukan oleh Adibah?

Apabila ibu bapa bimbang mengenai kualiti perhubungan mereka dengan anak-anak, mereka perlu mempertimbangkan dua perkara.

  1. sama ada anak mahu memberitahu perasaan mereka,
  2. sama ada anak ingin berkongsi dengan ibu bapa.

Menyatakan perasaan hati adalah satu petunjuk penting kualiti perhubungan. Kanak-kanak biasanya tidak banyak bercakap mengenai perasaan mereka dan oleh itu, apabila mereka memberitahu seseorang mengenai perasaan mereka, itu menandakan keyakinan.

Untuk memberitahu seseorang tentang rahsia anda, terutama apa yang anda suka dan tidak suka dan perasaan yang memalukan memerlukan sifat keberanian. Apabila seseorang anak melakukannya, dia membukakan pintu emosinya. Di peringkat ini, ibu bapa perlu berhati-hati agar tidak mengeksploitasi kepercayaan ini dengan menyuruhnya membuat lebih banyak kerja rumah.

Ramai yang berpendapat bahawa perkembangan perhubungan anak-ibu bapa adalah sesuatu yang semula jadi dan dapat mengatasi ribut emosi kehidupan berkeluarga. Bagaimanapun, penyelidikan ke atas kanak-kanak menunjukkan bahawa banyak perkara yang boleh menjejaskan perhubungan antara anak dengan ibu bapa.

Konflik berterusan antara ibu bapa adalah sesuatu yang akan mengganggu mana-mana anak pun. Bila ini berlaku, anak berasa resah dan runsing. Malah ada sesetengah yang menyalahkan diri sendiri di atas pertengkaran ibu bapa mereka lalu mengunci hati dan mengasingkan diri daripada semua orang.

Kita lazimnya tidak menganggap bahawa mempunyai seseorang yang sakit di dalam keluarga boleh menimbulkan masalah, namun gangguan memang berlaku. Apabila ibu bapa meluangkan banyak masa terhadap anggota keluarga yang sakit, anak-anak berasa diabaikan. Mereka mula membuat perangai untuk mendapatkan perhatian, dan ini menjengkelkan ibu bapa, lalu mengakibatkan tindak balas kasar, dan dengan itu menjejaskan perhubungan.

Mungkin, peramal paling penting mengenai kualiti perhubungan ialah gaya pendisiplinan. Jika seseorang ibu atau bapa terlampau berkeras dengan anak, si anak mungkin berasa takut untuk berinteraksi dengan ibu atau bapa itu. Sebaliknya, jika ibu bapa tidak terlibat dengan keperluan seharian si anak, anak itu belajar untuk mengalih perhatian kepada mereka yang lebih terlibat. Tidak mengejutkan, ramai anak yang mempunyai perhubungan lebih kukuh dengan pembantu rumah, berbanding dengan ibu bapa mereka.

Apabila seseorang anak mempunyai perhubungan yang baik dengan ibu bapanya, konsensus umum ialah bahawa anak itu berasa lebih terjamin di rumah dan lebih gembira. Ini menghasilkan jati diri lebih tinggi dan kesihatan mental positif secara umumnya. Seperkara lagi, seseorang ibu atau bapa yang mempunyai hubungan lebih kukuh dengan anaknya juga berada dalam keadaan yang lebih baik untuk membimbing anak itu, dan dengan demikian masalah pendisiplinan mungkin dikurangkan.

Banyak perkara yang ibu bapa boleh lakukan untuk memperbaiki perhubungan dengan anak-anak mereka. Di sini ada beberapa cadangan:

  • Menerima anak anda seadanya

Setiap orang mempunyai keperluan untuk diterima seperti seadanya. Apabila seseorang bersikap terlalu menilai tabiat semula jadi dan keterampilan fizikal seseorang, anda merenggangkan orang itu. Begitu juga dengan kanak-kanak. Oleh itu, jika ibu bapa boleh belajar menerima kekuatan dan kekurangan anak, juga sikap suka dan tidak sukanya, anak akan berasa bahawa ibu bapa adalah orang yang boleh dibawa berbual.

  • Ketahui minat anak anda

Untuk mengenali seseorang, bererti mengetahui cita rasa orang itu. Di mana yang berkaitan dengan kanak-kanak, ia bererti mengetahui makanan kegemaran dan yang lebih penting, permainan kegemaran mereka. Bermain barangkali adalah satu aktiviti amat penting untuk semua kanak-kanak. Apabila ibu bapa menaruh minat di dalam permainan si anak, dan cuba sedaya upaya untuk ikut serta, anak memandang ibu bapa sebagai rakan.


  • Luangkan masa untuk bermain dengan anak anda

Meluangkan masa dengan seseorang anak adalah satu perkara. Setiap ibu bapa melakukannya, dan ramai memberitahu kita bahawa ia dilakukan menerusi tuisyen dan penghantaran anak dari satu tempat ke tempat yang lain. Malangnya, perspektif yang kanak-kanak ambil adalah berbeza daripada orang dewasa. Oleh itu, masa umum yang ibu bapa luangkan dengan anak-anak mereka tidak dianggap sebagai menyeronokkan. Bagi seseorang anak, bermain adalah menyeronokkan, dan oleh itu ibu bapa perlu mencari sedikit masa setiap hari untuk bermain dengan anak-anak mereka.

  • Perhatikan dan puji anak anda mengenai perkara-perkara baik yang mereka lakukan

Manusia menjadi mesra kepada yang lain, apabila mereka mempunyai kemesraan di dalam diri. Kemesraan ini boleh diwujudkan dengan cara menyebut perkara-perkara yang baik mengenai orang lain. Ini bererti pujian dan sanjungan. Apabila ibu bapa memerhatikan anak-anak mereka melakukan perkara-perkara yang positif, dan memberi pujian yang positif, anak-anak memandang ibu bapa mereka secara yang positif. Dengan itu, mereka akan cenderung untuk berinteraksi dengan ibu bapa mereka bagi mendapatkan lebih banyak maklum balas yang positif.

  • Dengar apa yang ingin diperkatakan oleh anak anda

Apabila ibu bapa meluangkan masa dengan anak, ia juga adalah satu peluang untuk memahami anak itu. Memahami seseorang bererti menyedari perasaan mereka mengenai sesuatu perkara. Cara yang terbaik untuk melakukan ini ialah dengan mendengar apa yang anak itu kata dan rasakan. Apabila ini berlaku, anak-anak sedar bahawa ibu bapa mereka memberi perhatian kepada mereka, lalu bersedia untuk bercakap lebih banyak lagi.

Memupuk perhubungan yang positif dengan anak anda adalah penting. Ia lebih mudah dilakukan semasa mereka lebih muda, berbanding ketika mereka lebih tua. Ini membina asas yang kukuh untuk kepercayaan dan kehidupan berkeluarga yang lebih terjamin. Ramai ibu bapa yang belajar bahawa berinteraksi dengan anak-anak mereka boleh dicapai dengan cara yang menggembirakan dan munasabah. Bagi kebanyakan mereka, ia adalah permulaan satu fasa baru dalam kehidupan berkeluarga. Bercakaplah dengan anak-anak anda. Lakukannya sekarang, dan anda pasti akan melihat kesihatan mental yang positif untuk jangka masa yang panjang.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: