Selamatkan Kanak-kanak Daripada Didera

7 Mar

oleh Utusan Malaysia

Pada Khamis dua minggu lepas Syafiah Humairah Sahari, 3, maut dipercayai akibat didera oleh teman lelaki ibunya di padang bola. Genap seminggu kemudian, kita dikejutkan pula dengan satu lagi kes penderaan yang meragut nyawa seorang kanak-kanak yang lebih muda, berusia setahun enam bulan.

Kanak-kanak malang itu, K. Hareswarral mengalami kecederaan serius – enam tulang rusuknya patah, hatinya pula hancur, kepalanya terdapat kesan cedera parah akibat dipukul manakala kemaluannya pula dicekak dengan kuat berdasarkan penemuan kesan-kesan kuku. Kedua-dua kes malang ini membayangkan betapa manusia berupaya bertindak sebegitu kejam terhadap kanak-kanak kecil yang fitrahnya terlalu lemah berbanding orang dewasa.

Ketika rencana ini ditulis, tertuduh bagi kedua-dua kes sedang ditahan reman bagi tujuan penyiasatan di bawah seksyen 302, Kanun Keseksaan iaitu tuduhan bunuh yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahannya. Lazimnya, tujuan hukuman keras sebegini adalah untuk menjadi iktibar dan pengajaran kepada orang lain agar tidak mengulangi perbuatan kejam ini di masa yang mendatang. Namun dalam kes-kes ini, nasi sudah pun menjadi bubur, yang pergi tetap telah pergi. Apa yang lebih penting sekarang adalah apa yang mampu dan boleh kita lakukan untuk mengelak kejadian yang serupa berulang lagi. Bagi menghapuskan secara total mungkin agak mustahil kerana ada ketika manusia akan hilang kewarasan dan bertindak di luar kawalan rasional dan emosi dan undang-undang seberat manapun tidak akan berupaya mengekang individu sebegini. Tetapi apa yang mungkin kita dapat lakukan adalah untuk mencari jalan-jalan terbaik untuk mengelakkan kejadian seumpama ini berlaku lagi. Selain pendidikan dan kesedaran tanggungjawab sosial yang mesti ada di kalangan masyarakat, undang-undang juga merupakan suatu mekanisma yang mungkin berkesan seandainya terdapat kesedaran yang jitu mengenainya serta pelaksanaan yang tegas oleh pihak-pihak yang berkuasa.

Kes-kes kematian akibat penderaan bukan merupakan fenomena yang baru di Malaysia. Kes-kes penderaan yang tidak membawa maut mula dikesan seawal tahun 60-an lagi disusuli dengan penemuan-penemuan golongan perubatan mengenai kecederaan-kecederaan yang dialami kanak-kanak yang dikatakan bukan disebabkan oleh kemalangan (non-accidental injuries). Kes-kes sebegini telah diterbitkan di dalam jurnal-jurnal perubatan dan perkembangan ini dikenalpasti rentetan daripada the battered baby syndrome yang mula diperkatakan oleh Profesor Kempe di awal 60-an di Amerika. Di Malaysia, penderaan kanak-kanak mula diterima sebagai suatu permasalahan sosial di dalam tahun 1990, selepas penderaan kejam yang berlaku dan menyebabkan kematian S.Balasundram, kanak-kanak kecil yang ditinggalkan di sebuah tandas air di Hospital Kuala Lumpur dengan kesan-kesan penderaan fizikal dan seksual yang dahsyat. Kematian Balasundram mencetuskan reaksi yang luarbiasa di kalangan masyarakat kerana tidak terjangkau di fikiran kita terdapat manusia sekejam pendera Balasundram, yang sanggup mendera seorang kanak-kanak yang tidak berdosa sedemikian rupa. Balasundram meninggal dunia akibat pendarahan dalaman yang teruk akibat didera secara fizikal dan bedah siasat mendapati kesan-kesan luka baru dan lama juga kesan diliwat. Peristiwa malang ini bagaimanapun menjadi pemangkin kepada penggubalan Akta Pelindungan Kanak-Kanak 1991, akta khusus bagi menangani permasalahan kanak-kanak yang memerlukan pelindungan.

Akta

Berbanding dengan akta yang wujud sebelumnya iaitu Akta Kanak-kanak dan Orang Muda 1947, Akta Pelindungan Kanak-kanak 1991 adalah lebih menyeluruh kerana ia bukan sahaja memperuntukkan hukuman bagi kes-kes penderaan, penganiayaan dan pengabaian tetapi juga mewujudkan mekanisma-mekanisma pencegahan antara lainnya seperti penubuhan Pasukan Pelindung Kanak- Kanak di daerah-daerah; daftar kanak- kanak yang memerlukan pelindungan; meluaskan kategori kanak-kanak yang memerlukan pelindungan serta meningkatkan lagi kadar hukuman bagi mereka yang didapati bertanggungan di atas sebarang kes penderaan melibatkan kanak- kanak. Yang paling penting adalah kewajipan tugas memaklumkan bagi golongan perubatan.

Kewajipan memaklum kes-kes yang disyaki kes penderaan adalah suatu kewajipan yang perlu diwujudkan berasaskan sifat kejadian penderaan yang selalunya berlaku secara ‘senyap dan sulit’ (silence and secrecy). Sifat kejadian ini berlandaskan sifat kanak-kanak itu sendiri yang lazimnya kurang berkemahiran di dalam berkomunikasi (atau tiada kemahiran langsung seperti bayi dan kanak-kanak kurang upaya). Maka apabila berlakunya penderaan, tidak kira fizikal, seksual atau emosi, penderitaan yang dialami mungkin berterusan di dalam senyap sehinggalah berlakunya sesuatu yang drastik seperti kecederaan yang parah, insiden mengandung bagi yang didera secara seksual dan yang paling tragis sekali adalah apabila kanak-kanak tersebut meninggal dunia.

Tanggungjawab memaklum di bawah undang-undang timbul apabila seseorang doktor mempercayai atas alasan-alasan yang munasabah bahawa seseorang kanak-kanak yang sedang dirawatinya itu telah dicederakan dari segi fizikal atau emosi akibat teraniaya, terabai, terbuang atau didedahkan, atau teraniaya dari segi seks. Sekiranya ini berlaku maka doktor tersebut berkewajipan untuk melaporkan kepada Pelindung iaitu seorang pegawai kebajikan masyarakat setempat. Langkah-langkah pelindungan seterusnya akan diambil oleh Pelindung dan juga langkah-langkah pencegahan kepada kanak-kanak lain yang ada di rumah tersebut sekiranya perlu. Dengan adanya kewajipan ini kebajikan kanak-kanak yang berisiko untuk didera atau didera lebih teruk lagi akan lebih terpelihara. Kesan daripada tidak mematuhi peruntukan ini akan memungkinkan ia terjumlah sebagai suatu kesalahan yang boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Kewajipan ini dilihat amat penting sehinggakan di dalam akta yang terkini iaitu Akta Kanak-Kanak 2001 yang memansuhkan pemakaian akta Pelindungan Kanak-kanak 1991 pada tahun 2002, golongan melapor telah ditambah kepada dua golongan lagi iaitu:

a) Anggota keluarga dan

b) Pengasuh kanak-kanak.

Anggota keluarga ditakrifkan sebagai ibu atau bapa atau penjaga atau seseorang anggota keluarga luas, yang merupakan seorang anggota rumah. ‘Keluarga luas’ ertinya orang-orang yang mempunyai hubungan persaudaraan melalui pertalian darah, persemendaan atau pengangkatan. ‘Anggota rumah’ ertinya seseorang yang pada lazimnya tinggal serumah dengan kanak-kanak tersebut.

Pengasuh kanak-kanak pula ditakrifkan sebagai seseorang yang mengasuh seorang kanak-kanak atau lebih bagi balasan berharga bagi sebarang tempoh masa. Bagi seorang pengasuh, sekiranya terbukti seseorang kanak-kanak di bawah jagaannya telah didera atau dianiayai, kesan daripada tidak memaklumkan akan membawa natijah yang sama seperti seorang doktor.

Penambahan ini dirasakan perlu kerana kejadian mendera mungkin tidak akan sampai kepada pengetahuan pihak doktor dan mampu dikesan lebih awal oleh sama ada anggota keluarga ataupun pengasuh kanak-kanak. Sebagai contoh, seorang nenek yang melihat cucunya didera saban hari berkewajipan memberitahu Pelindung agar penderaan tidak berlanjutan. Begitu juga ibu-ibu yang mengetahui tindakan penderaan terhadap anak oleh suami tidak wajar mendiamkan diri hanya kerana takut tindakan diambil terhadap suami dan mereka kehilangan sumber pendapatan sekiranya suami diambil pihak berkuasa. Kejadian seumpama ini pernah berlaku terutamanya di dalam kes-kes sumbang mahram dan amat malang sekali apabila seorang ibu tergamak mendiamkan diri melihat anak diperlaku sedemikian hanya kerana bimbangkan kehilangan punca kewangan! Dengan adanya peruntukan seumpama ini, si ibu tidak mempunyai pilihan kerana seandainya bapa atau bapa tiri didapati bersalah melakukan penderaan, si ibu akan bertanggungan kerana tidak memaklumkan kejadian lebih awal kepada Pelindung. Bagi anggota keluarga yang mengingkari peruntukan ini pula undang-undang tidak terlalu menghukum kerana jika disabitkan akan hanya dilepaskan dengan bon atas syarat-syarat yang akan ditentukan Mahkamah. Lazimnya anggota keluarga tidak akan dikenakan hukuman penjara atau denda secara terus kerana menjaga kebajikan kanak-kanak tersebut juga, yang memerlukan anggota keluarga tersebut untuk terus melindunginya. Oleh itu perlu difahami bahawa tujuan peruntukan mewajibkan memaklumkan ini lebih menjurus kepada tujuan melindung kanak-kanak berisiko dan bukannya untuk menghukum semata-mata. Malahan, semenjak kewajipan ini mula diperkenalkan pada tahun 1991 terhadap golongan doktor sehingga hari ini ia diperpanjangkan kepada anggota keluarga dan pengasuh, belum pernah ada sebarang pendakwaan dilakukan walaupun jelas kewajipan memaklumkan ini telah diingkari.

Undang-undang

Keadaan tidak melaksanakan undang-undang yang sedia ada inilah yang memungkinkan penderaan terhadap kanak-kanak semakin berleluasa. Pelaksanaan undang-undang yang bersifat untuk melindung seperti ini adalah sangat penting daripada aspek kebajikan kanak-kanak. Disebabkan oleh kekurangan dan kelemahan mereka sebagai kanak-kanak, maka lebih penting bagi undang-undang memainkan peranan melindungi mereka apabila orang dewasa yang diharapkan untuk berbuat demikian gagal. Kanak-kanak memerlukan orang dewasa lain untuk menjadi ‘suara’ mereka apabila mereka menderita secara fizikal atau pun emosi. Sebagai contohnya, di dalam kes penderaan arwah Syafiah, ada dilaporkan di dalam akhbar, bahawa salah seorang anggota keluarga menyatakan bahawa mangsa pernah kelihatan ketakutan apabila diajukan nama mangsa. Insiden-insiden yang mungkin dikira kecil seperti inilah yang memberi gambaran tentang keadaan yang mungkin dialami oleh kanak-kanak tersebut maka perlu disiasat dengan lebih lanjut lagi agar perkara lebih buruk tidak akan berlaku. Seseorang kanak-kanak terutama yang masih kecil lazimnya tidak akan pandai mengada-adakan perkara yang pernah berlaku kepadanya terutama sekali jika perkara itu melibatkan suatu trauma kepadanya. Seseorang dewasa pula mungkin membayangkan sesuatu yang tersembunyi yang berlaku kepada kanak-kanak tersebut.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: