PASTI WP Mengutuk Lelaki Amuk Hentak Kepala 3 Kanak-Kanak Dengan Tukul

10 Mar

PASTI WP mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kejam seorang lelaki yang telah mengamuk dan mencederakan 3 orang kanak-kanak dengan menggunakan tukul.


Kejadian tersebut berlaku di sebuah tadika di Muar ketika kanak-kanak terbabit sedang mengikuti kelas mereka pada sebelah pagi. Kanak-kanak tersebut ialah Adik Nur Nadrah Yusri, Adik Vincent Tey dan Adik Alex Tan. PASTI WP berharap agar suspek  kejam kejadian ini dapat ditangkap dengan seberapa segera. PASTI WP juga turut melahirkan rasa simpati kepada ketiga-tiga orang kanak-kanak tersebut beserta ibu bapa di atas kejadian yang menimpa mereka. Juga tidak ketinggalan pengusaha tadika tersebut, Voon Siew Kuin yang turut menjadi mangsa serangan lelaki terbabit.

Rabu Mac 10, 2010

Lelaki Amuk Hentak Kepala 3 Kanak-Kanak Dengan Tukul Dalam Tadika

Oleh HAMDAN RAJA ABDULLAH

Nur Nadrah Nabilah Mohd Yusri dengan berbalut kepalanya semasa dipindahkan ke wad di Hospital Pakar Sultanah Fatimah di Muar hari ini.

MUAR: Tiga kanak-kanak cedera parah apabila seorang lelaki yang bersenjatakan tukul menyerbu masuk ke sebuah tadika di mana mereka sedang belajar pagi ini dan mengamuk lalu menghentak mereka di kepala.

Kanak-kanak berkenaan termasuk seorang perempuan – kesemuanya berusia enam tahun – sedang mengikuti kelas mereka di Tadika Sinario di Lorong Haji Ali berhampiran Jalan Junid di sini apabila seorang lelaki mengamuk menyerbu masuk ke dalam kelas lalu mencederakan mereka.

Ketiga-tiga mereka telah dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Aminah pada jam 10.20 pagi untuk mendapat rawatan kecemasan. Bagaimanapun menjelang jam 6.30 petang, mereka telah dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah di Johor Baru.

Seorang lagi mangsa, Vincent Tey yang cedera parah di kepala.

Mereka dihantar ke Johor Baru dengan tiga ambulans berasingan.

Menurut pengusaha tadika itu, Voon Siew Kuin, 45, penyerang itu yang memakai topi keledar, telah melompat pagar sekolah berkenaan dan menendang pintu gril tadika sebelum bertindak menyerang kanak-kanak malang berkenaan.

Kata Siew Kuin, sebelum lelaki itu bertindak ganas, dia sempat menghalang lelaki itu dan bertanya apa yang dia hendak tetapi lelaki itu dengan pantas menyembur serbuk lada ke mukanya sebelum melakukan serangan ke atas kanak-kanak berkenaan.

Dia kemudiannya menghentak dua orang kanak-kanak lelaki dan perempuan di kepala mereka sebelum berlari keluar ke arah sebuah motosikal lalu memecut meninggalkan tadika berkenaan.

Alex Tan dengan berbalut kepalanya semasa dipindahkan ke wad.

Siew Kuin berkata, ketiga-tiga kanak-kanak berkenaan mengalami pendarahan yang banyak dan berharap keadaan mereka stabil selepas dibawa ke hospital.

Pengusaha tadika itu juga berkata, ketika kejadian, terdapat lebih kurang 20 orang kanak-kanak di dalam tadika berkenaan. Sementara itu, kanak-kanak berkenaan, Vincent Tey, Alex Tan dan Nur Naddrah Nabilah Mohd Yusri telah menjalani rawatan kecemasan termasuklah imbasan di kepala untuk memastikan tidak ada sebarang kecederaan dalaman yang serius.

Bapa mangsa, Mohd Yusri Mukhlis ketika ditemui berkata, anaknya mengalami keretakan di tengkorak kepala dan gegaran tetapi bersyukur keadaannya stabil.

Pada mulanya kata Yusri, ada orang telah memaklumkan yang anaknya telah terbunuh dalam kejadian itu dan dia yang dalam keadaan panik telah menelefon isterinya, Farah Asyikin Abu Samah.

“Saya bukan sahaja terkejut tetapi sangat takut dan sedih apabila mendapat berita itu dan isterinya pula hampir pitam. Bagaimanapun sebaik sahaja tiba di hospital dan bertemu doktor saya dan isteri berasa lega dan bersyukur anak kami selamat,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Keluarga, Kesihatan dan Pembangunan Masyarakat Johor, Dr Robia Kosai ketika ditemui berkata, seorang pakar bedah dari Muar telah mengiringi ketiga-tiga mangsa ke Johor Baru.

“Saya dan Ketua Polis Johor, DCP Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff telah melawat mangsa dan kami berpendapat mereka akan menerima rawatan dan perhatian yang lebih baik sekiranya dihantar ke Johor Baru.

Dalam pada itu, polis telah melancarkan gerakan besar-besaran untuk memburu dan menjejaki suspek yang dipercayai seorang lelaki yang tidak siuman.

Ini termasuklah mengadakan sekatan jalan di kebanyakan kawasan di daerah ini. – MStar Online

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: