Tiada yang lebih menerima taubat melainkan Allah

27 Apr

Imam asy-Syafe’i sebelum pulang ke rahmatuLlah sempat menukilkan sebuah puisi yang antara lain menyebutkan: ‘…Dosa-dosaku kelihatan terlalu besar buat diriku, tetapi setelah kubandingkan dengan keampunan-Mu, ternyata keampunan-Mu jauh lebih besar…’  Bait-bait indah tersebut tentunya lahir daripada rasa hamba dan rasa cinta juga rasa keyakinan yang mendalam terhadap sifat-sifat dan nama-nama mulia Allah; at-Tawwab (Maha Penerima Taubat), al-Ghafur (Maha Pengampun) dan ar-Rahim (Maha Penyayang).

Sifat-sifat dan nama-nama tersebut tergambar dengan cukup jelas dalam maksud wasiat-wasiat rabbani seperti berikut:”Dan sesungguhnya Aku Maha Pengampun bagi orang yang bertaubat, beriman, beramal soleh, kemudian tetap di jalan yang benar”. (Thaha : 82)


“Katakanlah wahai hamba-hamba-Ku yang berlebih-lebihan terhadap dirinya (lazim berbuat dosa), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni semua dosa, sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Az-Zumar: 53).

“Tidakkah mereka tahu  bahawa Allah menerima taubat daripada hamba-Nya dan menerima beberapa sedekah ?  Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.” (at-Taubah: 104)

“Sesungguhnya Tuhanmu memberi ampunan bagi manusia atas kezalimannya, dan sesungguhnya Tuhanmu amat keras siksanya.” (Ar-Ra’ad: 6).

“Barangsiapa yang bertaubat sesudah melakukan kezaliman dan berbuat kebajikan, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Al-Maidah: 39).

“Diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab r.a., berkata bahawa beberapa orang tawanan dihadapkan kepada Rasulullah s.a.w.  Seorang wanita di antara tawanan itu mencari-cari, ketika dia menemukan seorang anak (bayi) di antara para tawanan itu, dia ambil dan dia dakapkan keperutnya untuk disusui.  Melihat keadaan itu, Rasulullah s.a.w. bersabda kepada kami (para sahabat), ‘Adakah kalian berpendapat wanita ini sampai hati melemparkan anaknya ke dalam api ?’  Kami menjawab, ‘Tidak, demi Allah, sedangkan dia mampu untuk tidak melemparkannya.’ Rasulullah s.a.w. bersabda, ‘Sungguh, Allah lebih menyayangi para hamba-Nya, berbanding wanita tersebut terhadap anaknya.” (HR Muslim)

Mungkin kisah dalam hadith di atas terdapat sedikit persamaan dengan sebuah kisah yang diceritakan oleh Sheikh Muhammad Soleh al-Munajjid yang diringkaskan seperti berikut:
“Dikisahkan terdapat seorang lelaki pada zaman dahulu sewaktu melewati sebuah lorong telah ternampak sebuah rumah yang terbuka pintunya.  Tiba-tiba seorang perempuan mengheret keluar seorang anak kecil yang sedang menangis sambil merayu-rayu.  Perempuan tersebut membiarkan anak kecil itu di luar rumah, lalu menutup pintu.  Kanak-kanak tadi kemudiannya berlalu pergi.  Dia berhenti, melihat sekeliling, mencari tempat untuk berteduh tapi tak siapa peduli sebagaimana emaknya sendiri.  Akhirnya, dia kembali ke rumah, bagaimanapun pintu rumah masih terkatup kunci.  Dia duduk di bendul pintu sambil meletakkan pipinya di bidai pintu sedang pipinya berbekas genangan air mata.  Tiba-tiba pintu terbuka.  Emaknya tidak dapat mengawal perasaan apabila melihatkan hal keadaan anak kecilnya itu.  Perempuan itu membongkok lantas mendakap erat lalu mencium anak lelaki itu.  Ujar perempuan itu sambil menangis: ‘Oh anak ibu!  Anak kesayangan ibu!  Buah hatiku ibu!  Ke manakah engkau?  Bukankah telah ibu kata jangan degil?  Dengar cakap ibu. Jangan paksa ibu hukum kau.  Ibu benci menghukum engkau.’  Kemudian, perempuan itu membawa masuk anak kecilnya ke dalam rumah.’

Menurut Sheikh Muhammad Soleh al-Munajjid: ‘Nabi s.a.w. pernah bersabda: ‘Allah mengasihi makhluk-Nya lebih daripada seorang perempuan kasihkan anaknya.’  Menurut beliau lagi, terlalu jauh perbandingan antara kasih ibu dan anak dengan kasih Allah dan makhluknya.  Allah ‘azzawajalla amat mengalu-alukan penyesalan dan taubat daripada hamba-Nya. Allah ‘azzawajalla juga bukan sekadar menerima taubat bahkan menerima taubat yang berulang-ulang kali berdasarkan sebuah hadith sahih (HR Muslim).  Dalam riwayat tersebut, ‘Abdul al-A’la menyebutkan bahawa dia tidak pasti Nabi  (s.a.w.) telah menyebutkan tiga atau empat kali atau berapa banyak kali yang engkau suka.  Ternyata ‘kebaikan’ Allah sering dilupakan oleh manusia. Begitu juga dengan sifat ‘cinta’ dan ‘penyayang’ Allah sering dialpakan oleh manusia yang telah terlalu banyak lagi rakus mengecap pelbagai nikmat daripada-Nya sebagaimana yang cuba dirakamkan dalam puisi berikut:

Aku yang berlari

Engkau Yang Maha Tidak Memungkiri Janji

pernah berjanji:

kalau engkau datang berjalan

Aku datang dengan berlari

Tapi, bila Engkau datang dengan berjalan

aku berlari sekuat hati melarikan diri

“Engkau memanggilku, tapi aku berpaling dari-Mu,

Engkau tampakkan kasih sayang-Mu padaku,

tapi aku tampakkan kebencian

(terhadap yang aku tak suka) pada-Mu

Engkau menyayangiku, tetapi aku tidak mempedulikan-Mu seakan-akan aku lebih tinggi daripada-Mu

Namun, sikapku itu tidak mencegah-Mu

untuk melimpahkan Rahmat dan Kebaikan-Mu padaku.”

(Syeikh al-Ashifi dalam Bihar al-Anwar)

One Response to “Tiada yang lebih menerima taubat melainkan Allah”

  1. sheka May 5, 2010 at 2:11 am #

    Saya, baru-baru ni membaca preview dari Human Life International, sebuah organisasi “Pro Life” diasaskan di Virginia, Amerika Syarikat untuk melindungi bayi-bayi dalam kandungan (terutamanya), kaum hawa yang terjebak dalam masalah sosial dan sedang mencari haluan hidup lebih sempurna. Buku “Fatherless” dikaryakan oleh Brian J Gail kini sedang diedarkan di Amerika. Tulisan beliau juga merangkumi masalah-masalah serius yang semakin menjadi-jadi di Amerika, tetapi juga merebak ke negara-negara lain.
    Amerika berpengaruh besar dalam perbagai bidang. Ia juga mempunyai pengaruh yang boleh menjatuhkan segala kebaikan dan berpotensi untuk melenyapkan moraliti dan kemanusiaan melalui polisi politiknya. Oleh itu, penulis and ahli-kaji moral and agama di Amerika, terutamanya yang beraliran Roman Katolik sedar bahawa mereka memainkan peranan yang luarbiasa untuk mengembalikan isu-isu moral ke pangkuan kekeluargaan, kebapaan, keibuan dan masyarakat umum yang mengagungkan diri sebagai entiti ketuhanan dicampuri dengan kemewahan, kebendaan, gaya-hidup bebas dan skandal seks di dalam gereja Katolik mahupun di luar. Kemiskinan dan kesusahan adalah definisi yang diabaikan oleh masyarakat dunia yang berbilang kemajuan dan kebolehan.
    Fatherless merupakan buku yang menjiwai kefahaman agama, moral, sosial, masyarakat dan perbagainya untuk menerokai pembentukan akhlak seimbang dan mengenali siapa diri kita dalam setiap masalah-masalah sosial. Kita dibentuk di dalam konteks sosial tetapi harus memahami masalah-masalah yang telah terbentuk dengan edaran masa. “Complacency is the father of all moral illnesses”. cj wan

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: