Kak Na…Cikgu Ana (1965-2011): Moga Dikau Tenang Di Sana

19 Apr

Sebahagian lanskap hidup Pengarah PASTI WP

 Kak Na, pertama kali bertembung di lorong kecil perkampungan setinggan di celah Kuala Lumpur. Tak sangka, betul-betul di tengah ibukota yang sentiasa sibuk dan sesak terselit satu perkampungan yang padat penduduk Melayu juga dari seberang…Jalan Kubur.

Siapa sangka, hijrah awal dari Kg. Hj. Abdullah Hukum pada Februari 2002 ke sini memuncakkan keceriaan dan keseronokan. Seronok Abdullah Hukum diganti seronok Jalan Kubur. Di sini erti hidup bermasyarakat dan berorganisasi betul-betul menjelma. Di sini juga kukenali sesusuk tubuh, Kak Na.

Mulanya agak sombong. Gayasimple, hayunan langkah bersahaja, mimik muka kosong, lantunan suara meninggi. Tapi bila dirapati rupanya penuh budi…Itulah Kak Na.

Lupa sudah apa kisah awal yang membawa perkenalan dan perhubungan yang cukup erat dan bermakna ini. Tapi, kamu menjadi sebahagian hidupku di kotaraya ini. Si suami, Abg. Jam laksana abang kandung. Dirimu dah jadi kakak sejati. Anak-anak: Nurul Sakinah, Hazwan, Afiq dan Hazman adalah anak-anak permainanku. Seringkali aku menjadi pengganti si bapa yang sering pula kelewatan pulang dari pemanduan yang panjang dan meletihkan. Tugasanku, hantar dan jemput anak-anak ini dari sekolah.

Mereka kulambung-lambung, kupeluk cium. Mereka merapatiku ibarat abang kandung. Tiada sebarang batasan. Aku pula… Itulah aku. Terlalu mudah mesra dengan anak-anak. Tika itu, akulah abang, akulah juga guru…mengajar mereka menulis membaca; Al-Qur’an, Matematik, B. Inggeris dan Bahasa Arab.

Bukankah sepanjang 2 tahun di Abdullah Hukum, hampir kesemua anak-anak di situ mengenali al-Qur’an denganku? Setiap kedatangan cuti mingguan, rumah sewa bujangku dipenuhi anak-anak yang bergelimpangan tidur di ruang tamu. Lantas, ada ibu yang bertanya: ”ustaz ni, apa yang seronok sangat bebudak ni di rumah ustaz? Ada apa ye? …hanya bantal kosong di ruang tamu. Yah, itulah aku. Seronok melayan bebudak.

Perangai ini kubawa ke dalam keluarga Kak Na. Maka aku adalah mereka. Dan mereka  adalah aku. Tiada segan. Tiada malu. Datang bertamu di rumah tanpa sebarang halangan. Malah, abang Jam akan di rumahku hingga ke jauh malam. Kadang-kadang sehingga dipanggil pulang oleh Kak Na.

Waktu terluang, kami akan merayap dengan Unser ke Kajang menjamu sate, ke Cheras pekena chicken chop. Hujung minggu pula, nasi ayam Kak Na sering menjadi idaman. Sedap. Takda tandingan bagiku. Petang hari minggu pula, Kak Na akan berkumpul dan makan-makan di rumah abangnya, Che Wan di Kg. Kerinchi. Biasanya seluruh keluarga akan berkumpul di situ. Dan sudah tentu, tetamu istimewanya adalah aku. Riuh rendah, tawa gembira, gurau ria memenuhi pertemuan. Indahnya.

Saat pulang ke kampungku, Kg. Paloh Kuala Terengganu, anak-anak Kak Na sering mengikuti. Abang Jam dah bertamu di rumah lebih dari 3 kali. Kak Na hanya sempat 2 kali. Kali pertama kami bermain air terjun di Lata Belukar Bukit. Kali kedua membantu kami menyambut menantu, isteriku. Itulah sebab setiap kali berada di kampung, kisah keluarga Kak Na akan mengisi sembangan. Apa khabar mereka?

Waktu Nurul, Hazwan dan Afiq di Sekolah Agama al-Irsyadiah, batu 26, Bagan Datoh Perak, aku menjadi driver utama. Memang gembira saat itu sementelah pula aku pantang diajak. Seronok sangat berjalan-jalan. Demikianlah waktu bebudak ni berpindah pula ke Sekolah Men Agama Ulu Dong, Raub dan al-Falah Batu Talam, Pahang, akulah juga peneman utama Kak Na dan Abang Jam.

2005. Kak Na jadi guru PASTI Al-Nur Jalan Kubur. Ganti Cikgu Noraini yang cuti bersalin. Mulanya payah betul nak terima jawatan. Tak layaklah. Tak retilah. Waktu tu janji sekadar 2 bulan aje. Tapi takdirnya selepas itu, ganti terus sesudah Cikgu Noraini mengundurkan diri.

Cikgu Ana! Sedap juga panggilan baru ni. Siapa sangka rupanya bakat dan kemahirannya ada di gelanggang ini. Jiwanya pada pendidikan. Hatinya untuk anak-anak PASTI. Cikgu Ana mampu kendali kelas sorang diri (in case keuzuran partner). Mampu pula atur dan jalankan program pelajar secara lone ranger. Lihat kepada upaya Cikgu Ana di padang. Lihat pula kejayaan Al-Nur di kejohanan sukan bola jaring. Juga sukaneka. Pernah bergelar juara dan tak miss dalam senarai top 5 PASTI WP! Justeru, setiap kali terpandang hadiah piala Johan Bola Jaring PASTI WP yang tersimpan di rumah, wajah Cikgu Ana terjelma di kotak khayalan. Terbayang kesungguhan beliau melatih anak-anak di padang. Sungguh, Cikgu Ana berjiwa pejuang…

Namun, panas pagi tak sampai ke petang. Dek sedikit masalah dalam hubungan kekawan, Cikgu Ana mengundur diri daripada Al-Nur. Itulah Februari 2010 yag hitam. Terasa kehilangan sesangat. Sayu hati tak terkira. Sejujurnya, sebelum ni rontaan hati selalunya kuat untuk ke Al-Nur. Berjumpa seorang kakak yang dah lama menjadi sebahagian hidup. Kini, tiada lagi. Tapi iman membisikkan: kebaikan itu adalah apa yang berlaku. Moga ada hikmah pengajaran kepada semua…

Setahun Kak Na memendam rasa. Derita hati ditanggung sendiri. Masa yang ada diisi dengan menjahit pakaian. Ya, riak muka ada rindu pada dunia anak-anak. Sering pula kedengaran beliau mencari berita dunia PASTI… Benar. Jiwanya jiwa PASTI…

Akhirnya kelibat Kak Na kelihatan di padang permainan untuk sesi latihan bola jaring anak-anak PASTI…dalam perlawanan persahabatan antara PASTI-PASTI Lembah Pantai. Oh! Rupanya diam-diam beliau digamit PASTI Al-Salam. Mac 2011 permulaannya. Kepakaran Cikgu Ana didambakan guna menghadapi Sukan Bola Sepak Bola Jaring PASTI WP yang akan berlangsung pada 2 April 2011.

Lantas, buat pertama kali dalam 6 kejohanan temasya Sukan Bola Sepak dan Bola Jaring PASTI WP, Al-Salam yang selama ini dikenali gergasi bola sepak kini melakar sejarah baru. Pasukan bola jaringnya menjuarai temasya sukan buat julung kalinya. Semua kepala tertoleh. “Apa resepi yang digunakan Al-Salam”, bisik seorang sahabat. “Cikgu Ana”, jawabku penuh yakin. Yakin dengan kesungguhan, kecekalan dan pengalaman beliau untuk mencatat sejarah buat majikan barunya. Ya, beliau berjaya membuktikannya. Puas.

Memang puas. Ceria di wajah terukir indah. Sepanjang perjalanan balik dari padang, beliau bergurau seronok dengan seluruh isi van Abg Azmi, KC Bukit C2.

Petang Sabtu 02hb April, aku pula tak dapat menunggu lama. Selalunya menjadi orang terakhir meninggalkan padang tapi kali ini antara orang pertama berlalu. Itupun jam sudah melewati 2.35 petang. Wah! Lewat sungguh temasya kali ini. Kebiasaannya jam 12.30 tengahari aje. Mungkin kesilapan teknikal pada sound system pada awalnya ditambah bilangan peserta yang semakin meningkat menjadi penyebabnya. Apa-apapun, nak kena rushing nih. Ingatan melekat pada panggilan daripada Kak Kamariah, wakil muslimat Masjid Al-Rahman UM pada 11.00 pagi tadi untuk menggantikan Ustaz Ibrahim Raja bagi slot Kuliah Muslimat pada jam 3.00 petang. Sempat ke nih!

Yah, terlewat sangat!  Jam 3.20 petang kuliah bermula. Untung akak-akak sabar menunggu. 4.15 pula berhenti. Keletihan menguasai diri. Langkah pulang segera diatur. Asar di Masjid al-Khadijiah Pantai Dalam. Seusai solat, terus terbungkam di ruang tamu dengan berbekalkan METRO sebagai pengulit mimpi. Isteri dan anak pula baru je sampai dari program sekolah. Masing-masing kelihatan letih. Rehat je lah sayang…

Baru beberapa helaian diselak, tiba-tiba….”Cikgu Ana meninggal! Betul ke ustaz?!” panggilan cemas Abg. Rasyid, KC Jalan Kubur. Panggilan dari Sungai Buluh. “Cikgu Ana mana nih? Eh, ye ke nih? Jangan bergurau dengan mati! Baru sat bertemu!” tegasku. ”Saya dapat panggilan dari Che Wan Mustaffa, KC Pantai Permai, boleh ustaz sahkan?. Katanya jenazah kini di Klinik Azhar. Nanti maklumkan pada saya” balas Abg. Rasyid cemas. ”Ye lah” Jawabku sambil melompat. Dalam hati, tak mungkin. Takda sebarang tanda. Sihat wal’afiat hamba Allah tu. Tapi takpa, untuk kepastian, kucuba call si Nurul. Tak dapat. Che Wan, juga tak dapat. Debaran dalam dada mulai tumbuh. Bergelegak kencang. Jangan, Ya Allah…!!!

Baju dan seluar mula membalut diri. Cemas luar biasa berjaya dikesan oleh si isteri. “Ke mana bang?”. “Ke Pantai Dalam, jumpa kawan”. “ke mana?” “Alamak! Banyak soal pula petang nih. Tak dengar ke?”getus hati. “Nak jumpa kawan sat, nanti balik awal” Jawaban ringkas sambil berlari anak.

Di luar rumah, kelihatan si Afiq menunggu sesuatu. Juga kawan baik Kak Na, Kak Sal berdiri di sebelah. Matanya merah. Alamak!. “Ayah ke mana, Fiq? Mak?” “Ayah pi klinik Azhar. Mak juga ke Klinik Azhar. Ustaz nak ke sana ke? Saya ikut”. “Jom!”. Jiwa kacau sepanjang perjalanan. Tak mungkin…

Di hadapan klinik, pandangan luar biasa kelihatan. 4-5 orang polisi. Dengan beberapa manusia yang berwajah serius. Hah! Kaki terus meluru masuk ke dalam bilik rawatan. Benar. Dalamnya terbaring sesusuk jasad yang amat kukenali. Muka tertutup. Di sebelahnya si suami sedang menangis. Juga si Nurul. Inna liLlahi wa inna ilaihi raaji’un

Apa lagi yang boleh diungkapkan. Apa lagi yang mampu diucapkan. Itulah kematian. Datang tanpa diduga. Hadir tanpa disapa.

Sebak menguasai diri. Tak percaya. Cuba mengawali diri. Tapi mana mampu…? ”Dia pakai baju PASTI, ada logo PASTI di dadanya” bisik hati. Ternyata, Cikgu Ana meninggal sebagai seorang PASTI. Sayang dan rapat sungguh Cikgu Ana dengan PASTI. Baju PASTIlah pilihan akhirnya sebelum pergi tak kembali.

Khabar pilu mula berlari pantas. Isteri di rumah, Abg. Rasyid KC, Kak Rozi bendahari PASTI WP. Panggilan dan mesej mula memenuhi talian. Tak sempat nak layan. Perbincangan ringkas dibuat dengan si suami. Bersetuju dibawa pulang. Pihak polis tiada halangan. Juga si doktor mengesahkan tiada keperluan sebarang post mortem. Kerana rekod kesihatan Kak Na memang tersimpan di situ. Beliau ada penyakit jantung! Tak sangka, tubuh sekurus beliau…

Doktor memaklumkan Kak Na sudah tiada waktu dibawa masuk ke bilik rawatan. Rupanya Kak Na dilihat terjelepuk selang 3 buah kedai sebelum tiba ke klinik. Lantas terus diusung…Memang tujuannya petang itu nak berjumpa si doktor. Untuk ubatan jantung beliau, juga ubatan si suami yang kesakitan berjalan selepas jatuh dari tempat tinggi. Itu yang dibisikkan abang Jam…

Wak Jani masjid dihubungi. Tapi, Wak masih di jalanan. Sekejap lagi sampai.

Petang itu, jenazah Cikgu Ana dibawa pulang ke Surau al-Ikhlas Jalan Kubur. Di situlah juga PASTI Al-Nur. Tempat beliau menabur bakti selama lebih 5 tahun. Sahabat dan rakan mula membanjiri. Wajah penuh kesedihan. Tak sangka. Betul-betul tak sangka…

Malam. Selepas solat Maghrib, tahlil dilaungkan. Orang ramai makin bertambah. Rakan-rakan PASTI WP semakin ramai. Membuak-buak dalam surau. Ruang yang ada semakin mengecil. Jemaah semakin berganda. Terpandang wajah teman-teman, Suhaimi Naib DPP WP, Cikgu Yusuf PASTI WP, Khalilullah DPP LP dan ramai lagi. Air mata tak boleh diseka lagi. ”Ya Allah, saksikanlah betapa kasih sayang kami kepada Cikgu Ana. Kami datang menziarahi dalam kepenatan siang hari masih bersisa. Ya Allah, ampunilah dia…” Bacaan doa tersekat-sekat. Hampir takda daya nak habisi. Airmata mengalir laju…

Malam itu, kunjungan guru PASTI WP bertali arus. Satu Wilayah Kuala Lumpur!. Juga guru-guru daripada SRA SRI Al-Ummah, tempat si Hazman bersekolah. Sebentar tadi Kak Rozi dan Cikgu Yusuf membawa sumbangan mewakili Tabung Kebajikan PASTI Pusat. Kini Hj. Halid dan Ir Hasanal pula mewakili Tabung Kebajikan PASTI WP.

Si Rabiah yang anak kecilnya didakap erat pada siangnya oleh Kak Na juga muncul. Wajah masih bingung. Memang tak percaya. Ibubapa anak-anak bekasan tarbiah Cikgu Ana juga ramai. ”Untung Cikgu Ana. Ramai yang datang mengingati…”

Rupanya pertemuan singkat di padang siang hari itu membawa penuh erti. Cikgu Ana hadir bersalam dengan semua teman guru yang sudah lebih setahun tidak bersua. Juga seolah-olah memohon izin untuk pergi dulu. Ada teman yang dipeluk erat. Ada anak yang didakap rapat. ”Ya Allah, Engkau terlebih mengetahui. Rupanya itulah pertemuan terakhir sebelum berpemergian jauh”.

Khabar dari kg. sampai. Abang dan mak nak datang. ”Tak payahlah mak. Jauh sangat. Makkan uzur. Tak boleh berjalan jauh”. Tapi, melihat kesungguhan mak dan abang, hati pasrah. Moga selamat di jalanan. Jam 10.30 malam rombongan mula bergerak dari Kuala Terengganu. Jam 4.30 tiba di Tol Gombak. Alhamdulillah.

Pagi itu, kunjungan orang ramai tidak kurang seperti malamnya. Seawal 7.30 pagi, Kak Mun, si pengurus jenazah sudah datang. Untung Kak Na. Pengurus jenazah; mandi, kafan, solat dan talqin… semuanya orang jemaah. Terima Kasih pada abang Jam yang memberi laluan kepada PAS Lembah Pantai dan PASTI WP untuk menguruskan Kak Na. Biarlah kami, ahli jemaah yang melakukan sentuhan dan urusan terakhir. Lagipun Kak Na adalah ahli jemaah cawangan Jalan Kubur Pantai Dalam. Juga guru PASTI. Secara kebetulan, aku pula YDP PAS Lembah Pantai. Juga Pengarah PASTI WP. Senanglah urusan…Majoriti yang datang juga adalah ahli jemaah PAS Lembah Pantai. Juga warga PASTI WP. Beruntung Kak Na…

10.30 pagi. Solat jenazah dilakukan. Aku imamnya. Ramainya jemaah datang nak berikan khidmat terakhir sebagai rakan. Terpandang muka abang Hisyam Tabligh. Juga wajah Hj Zamri SU PAS Lembah Pantai. Sejak petang semalam Hj. Zamri banyak membantu. Sebak menguasai diri. Mereka ini tidak lokek untuk khidmat terakhir. Muka-muka yang datang baik-baik. Tulus. Wajah-wajah jemaah. Untung Kak Na…Lantas kami padukan keikhlasan, kami satukan harapan. Semoga Kak Na beroleh kelepasan. Jua ganjaran kebaikan…Amin, ya Rabb!

Mewakili abang Jam yang hampir tak dapat berkata, kemaafan bagi pihak Kak Na dipinta. Halalkan makan minumnya. Nyatakan sebarang hutang piutangnya jika ada.

11.00 pagi. Di tanah perkuburan Jalan Kubur, liang lahad sudah tersedia. Persiapan perkebumian sudah menunggu. Inilah rumah sementara untuk Kak Na. Juga untuk aku dan kalian. ”Ya Allah, bila masanya dan di mana pula tempatnya untuk aku?” Terasa kelopak mata bergenang. Memang, inilah pengajaran besar untuk hati-hati yang tak mati. (Li mithli haaza fal ya’malil ’amilun; untuk urusan ini maka beramallah orang-orang yang mahu beramal).

Akhirnya, seluruh jasad Kak Na disatukan dengan tanah. Pipinya ke tanah. Tubuhnya juga rapat ke tanah. Menghala kiblat sambil mengiring pada lambung kanan. ”Daripadanya kamu datang, kepadanya kamu kembali dan daripadanya kamu dibangkitkan kembali”. Kambusan tanah dilakukan cermat. Perlahan-lahan. Akhirnya. Seluruh jasad Kak Na hilang dari pandangan…

Bacaan talqin sengaja aku kerasi. Biarlah semua telinga mendengari. Biarlah pemergian Kak Na memberi pengajaran kepada nadi dan hati yang masih berbaki. Selesai talqin, anak-anak Kak Na menyantuni ibu tercinta. Taburan bunga dengan siraman air ke atas kuburan ibu tersayang. Bersemadilah ibu dengan tenang…

Langkah longlai kuatur meninggalkan kuburan. Rokib, abangku mengikuti di belakang. Haruman kemboja makin jauh ditinggalkan. Semalam seorang penghuni kampung berkurangan. Hari ini seorang ahli perkuburan datang menumpang. Itulah ketentuan….

Kak Na, pemergianmu penuh kejutan. Berbekas kukuh saat pertemuan. Sungguh. Singkat sungguh sebuah pertemuan. Juga satu pemukiman. Nyata, kita ini milik Tuhan. Hari ini kamu kami titipkan. Esok kami pula datang meneman…Inna lillah wa inna ilaihi raaji’un.

       ”Kak Na…Cikgu Ana. Selamat Tinggal. Moga dikau tenang di sana…”

Al-Fatihah.

(Jalan Kubur: 8 April 2011)

 

5 Responses to “Kak Na…Cikgu Ana (1965-2011): Moga Dikau Tenang Di Sana”

  1. sahabat Kak Na April 19, 2011 at 2:31 pm #

    Doa kami: Allahumma irgfir laha wa irham ha wa ‘aafiha wa’ fu’anha…

    “Ampuni dia Ya Allah, angkat kedudukannya Ya Allah, bangkitkan dia bersama kumpulan orang-orang yang soleh Ya Allah”

  2. Rabiah Zakaria April 20, 2011 at 7:20 am #

    kisah ini sangat menyentuh hati naluri saya terutama sekali apabila melihat gambar ketika kami berada di sabah sempena sambutan hari guru 2009. semoga jasanya dalam PASTI akan di kenang sampai bila-bila. semoga rohnya dicucuri rahmat dan di tempatkan dengan orang2 yang beriman… al-Fatihah

  3. noni nordin April 20, 2011 at 11:19 am #

    Walau pun sempat mengenali arwah hya dlam tempuh 3 thn,byak nasihat dan tunjuk ajar dicurahkan kepadaku.Org pertama yg diperkenalkan kpdku sebaik shj bergelar warga Pasti WP pada 2009.Wlau dia tidak lagi bergelar warga Pasti sejak 2010,tapi hubungan antara kami tetap mesra seperti biasa.”Moga engkau ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman”
    “Harimau mati meninggalkan belang,manusia mati meninggalkan nama”.

  4. teman April 21, 2011 at 6:56 am #

    ya allah kau tempatkn sahabat kami ditempat orang beriman…betapa shadunya kisah ini dan meninggalkn kesan yang sangat mendalam, terasa satu kehilanggan seorang sahabat yang selama ini menjadi suka dan duka……”mati itu pasti”…

  5. Anak Murid Ustaz Adlin April 22, 2011 at 2:21 pm #

    Janji pada ustaz, nak serve kisah ini mlm mgu nanti.Tapi tak tahan nak tgu…sebab maklumat ustaz tak pernah sia-sia..Sungguh..meskipun tak pernah mengenali Kak Na, tapi semangat yg ada pd dirinya seolah-olah hadir meniup sanubari.Mampukah agaknya aku memiliki jiwa seikhlas itu..Mappukah aku memeluk anak-anak didikku dengan jiwa yg bersih..Mahukah anak-anak didikanku juga memandangku dengan hati yang tulus..Dan apakah nasib ku di hari kematianku nanti..teruruskah jenazah ku…adakah teman-teman yg sudi dtg melawat…dan adakah ruhku akan mjd ruh yang sentiasa dikenang dan didoakan sebagaimana ruh arwah Kak Na…Al-Faatihah untuk arwah Kak Na..dan semoga anak-anaknya juga akan dicintai oleh hati-hati seikhlas hati Arwah Kak Na..amin…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: