Monolog Syawal 1432H

14 Sep

Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar,

Syawal datang lagi. Ia bulan kemenangan umat Islam. Menang melawan tuntutan nafsu syahwat sepanjang Ramadhan. Menang juga kerana berupaya menjunjung perintah Ilahi. Siangnya beribadah puasa. Malamnya pula dengan berqiamullail. Sepantasnya Syawal diraikan dengan kesyukuran dan kemenangan.

Syawal juga bulan kemerdekaan umat Islam. Merdeka dan bebas sebagai seorang mukmin yang beroleh taqwa. Merdeka dan bebas juga menyatakan keimanan mutlak kepada Sang Pencipta Yang Maha Agung. Justeru mukmin pada pagi hari Syawal melaungkan takbir. Sebagai luahan hati daripada lubuk jiwa merdeka. Takbir yang mengusir jauh segala syirik dan unsur perhambaan sesama makhluk. Sebaliknya hanya kepada-Nya semata. Takbir yang berupaya menghimpun seluruh kekuatan umat Islam untuk menghancurkan kebatilan.

Saksikanlah kehancuran segala tipu daya iblis dan syaitan apabila berhadapan dengan umat Islam yang jiwa merdeka. Malah Rom dan Parsi terkesima. Terpukau dan terpana. Gerangan sihir apakah yang diguna oleh umat Islam sehingga mereka gagah melangkah ke tengah gelanggang perang tanpa peduli keselamatan diri sendiri. Tangkal dan kesaktian mana yang begitu mujarab hingga mereka tidak mengendah semua halangan di hadapan mata. Lagak mereka bak kuda perang lepas ke gelanggang. Laksana kuda yang mencetuskan api dengan pukulan kuku kakinya. Kuda yang menyerang dengan tiba-tiba di waktu pagi. Inilah penangan jiwa merdeka. Tiada takut. Tiada gementar. Gantinya kekuatan. Gantinya keberanian. Moga beroleh keredhaan dan keampunan Ilahi di hujung perjalanan.

Namun hati-hati, wahai diri. Usah terleka dalam perjalanan yang masih bersisa panjang. Usah dibuai angin kerehatan yang menerobos kencang. Jalan kehidupan masih berliku dan beralun. Masa penamat kehidupan ghaib dan tiada bayangan. Sedang, musuh dan seteru bersusun-susunan dan berhimpit-himpitan. Menunggu peluang dan kesempatan. Guna menambah teman di dalam jahanam.

Maka persiapan iman dan taqwa tidak harus terhenti separuh jalan. Bukan sekadar di bulan Ramadhan. Bukan terhenti di pagi Syawal. Ia mesti kekal berpanjangan. Berkekalan sehingga garis penamat kehidupan. Bukankan kejayaan abadi adalah kehindaran diri daripada celaka neraka jahanam? Dan, keupayaan diri bersama kekasih idaman…? Tapi ia tidak semudah jangkaan. Tidak seringan baris ucapan. Ia datang bersama pengorbanan. Ia datang bersama perjuangan…

Justeru, bersabarlah diri, diamlah jiwa. Teruskan langkahan. Jalan ini sukar dan tiada akhiran. Tapi ia menjanjikan ketenangan dan kebahagiaan. Beristiqamahlah…! Allahu akbar, walillahil hamdu.

MOHD ADLIN BIN SALLEH

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: